|
Tuan Salleh Man (Permatang Pasir) a) Sejauh manakah consumer watch Kerajaan Pulau Pinang berfungsi dan kejayaannya. Sila nyatakan. (b) Apakah salah satu kempen kesedaran pembaziran makanan mencapai kejayaan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. 
a. Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa MMK Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mewujudkan Program Pemantau Pengguna (Consumer Watch) yang dilancarkan pada 4 Julai 2008. Program ini bertujuan untuk memberi pendidikan dan kesedaran tentang hak pengguna sebagai teras utama dalam menghasilkan pengguna yang bijak serta mewujudkan model pengguna yang bijak di semua peringkat masyarakat. Kumpulan Pemantau Pengguna yang telah ditubuhkan di setiap kawasan ADUN telah dari semasa ke semasa menjalankan pemantauan mengenai harga barangan dan sebarang kegiatan menyorok barangan keperluan. Kumpulan ini juga melaporkan kepada urusetia Jawatankuasa MMK Hal Ehwal Pengguna jika terdapat sebarang kenaikan harga yang tidak mematuhi harga siling untuk dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Kumpulan ini juga memberikan maklumbalas kepada Jawatankuasa MMK Hal Ehwal Pengguna mengenai kedai atau pasaraya yang mempunyai harga terendah dan harga tertinggi. Selain itu, YB Pengerusi Jawatankuasa MMK Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tuan Haji Abdul Malik juga telah turun padang bagi mengadakan lawatan ke pasar-pasar, kedai-kedai dan hypermarket menjelang musim perayaan bersama dengan kumpulan pemantau mengikut kawasan masing-masing bagi memantau harga barangan. Antara program pemantauan yang telah dijalankan ialah seperti berikut: 1. Program pemantauan ke atas kedai dan pasaraya yang mengguna pengiklanan jualan murah tanpa permit di sekitar Kawasan Kebun Bunga pada 12 Ogos 2009. 2. Program pemantauan ke atas syarikat perkhidmatan kecantikan dan kesihatan yang beroperasi di Kawasan Parlimen Bukit Bendera pada 6 September 2009 . 3. Program pemantauan ke atas pembekal barangan perkhidmatan keperluan asas di pasar-pasar awam Kawasan Parlimen Tanjung. 4. Program Pemantauan ke atas pembekal barangan peralatan dan keperluan bahan mentah untuk pengeluaran kek biskut di sekitar Georgetown. 5. Program pemantauan ke atas tempat menyimpan, memproses mutu kebersihan ais kiub di sekitar Kawasan kedai makan di bahagian tanjung. 6. Program pemantauan ke atas peniaga yang menjalankan perniagaan barangan tiruan di sekitar kawasan peniagaan Farlim dan Pasar Malam pada 12 Ogos 2009. 7. Program pemantauan ke atas kedai perkhidmatan perubatan ubat-ubatan di sekitar kawasan Bahagian Bukit Gelugur. 8. Program pemantauan ke atas bekalan gula, tepong, minyak dan lain-lain keperluan asas di bahagian Bukit Gelugor. 9. Program pemantauan berkaitan perbezaan harga ke atas barangan kawalan dan kedai pemborong peruncitan di sekitar pasar awam Kawasan Machang Bubuk pada 9 September 2009. 10. Program pemantauan ke atas Mini Market dan kedai peruncitan menangani kekurangan bekalan gula dan kenaikan harga bawang putih di sekitar seluruh kawasan Telok Tempoyak Bayan Lepas pada 8 Ogos 2009. 11. Program pemantauan dan pendidikan pengguna bersama pasukan pemantau pengguna dan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampong Telok Tempoyak Bayan Lepas pada 8 Ogos 2009. YB Pengerusi telahpun melancarkan Bulan Pemantau Pengguna pada 7 Julai 2009. Sambutan Bulan Pemantau Pengguna ini adalah bermula dari Julai hingga Ogos 2009. Antara pengisian di sepanjang program ini ialah : i. Road Show kesedaran dan hak pengguna ii. Kempen berjimat-cermat iii. Kempen Kesedaran Pembaziran Makanan iv. Forum Menangani Kenaikan Harga Barangan Urusetia bagi program ini juga telah mengedarkan risalah-risalah serta buletin berkaitan kepenggunaan kepada para peniaga / peruncit / pemborong dan lain-lain lagi serta kepada orang ramai di setiap KADUN melalui Kumpulan Pemantau Pengguna. b. Kempen Kesedaran Pembaziran Makanan adalah merupakan salah satu pengisian sepanjang Bulan Pemantau Pengguna Pulau Pinang. YB Pengerusi telah pun mengadakan sesi taklimat dan perbincangan dengan Persatuan Hotel-hotel di Pulau Pinang bagi melancarkan program mengelak pembaziran makanan bermula dari sektor perhotelan. Program ini akan memberi fokus kepada hotel-hotel di Pulau Pinang di mana makanan berlebihan tidak akan dibuang begitu sahaja tetapi didermakan kepada badan-badan kebajikan bagi mengelakkan pembaziran. Pelancaran Kempen Elak Pembaziran akan diadakan pada 1 Disember 2009 bertempat di Hotel G, Pulau Pinang. Selain itu, bagi memperkasakan lagi usaha ini, banner dan kain rentang bagi menggalakkan amalan berjimat-cermat di kalangan pengguna juga dipamer di pasar-pasar awam dan persimpangan jalan yang strategik di setiap KADUN seluruh Pulau Pinang oleh Pasukan Pemantau Pengguna. Bagi merancakkan lagi Bulan Pemantau Pengguna Pulau Pinang pula, Karnival Pengguna Pulau Pinang akan diadakan pada 13 Disember 2009 bertempat di perkarangan Time Square Pulau Pinang. Antara pengisian karnival ini ialah ceramah pendidikan pengguna, taklimat pensijilan halal, pameran, jualan dan promosi, jualan amal serta pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak.
Please login or register to add comments |