|
MPPP rugi RM131,500 tutup longkang dicuri |
|
|
|
|
Written by pemudabbendera
|
|
Jul 24, 2010 at 09:07 PM |
GEORGETOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kerugian RM131,500 apabila besi penutup longkang dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab sejak Januari hingga Mei lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Tay Leong Seng berkata, pada Januari sahaja sebanyak 63 besi dicuri dengan nilai RM12,000, kemudiannya pada Februari sebanyak 242 dengan nilai RM48,400, Mac sebanyak 130 yang berjumlah RM26,500.
Beliau berkata, kemudiannya pada April pula sebanyak 143 besi penutup longkang dicuri dengan kerugian sebanyak RM28,600 dan pada Mei lalu melalui perangkaan statistik Jabatan Kejuruteraan MPPP melaporkan 77 besi dicuri dengan nilai RM15,400.
“Setiap satu keping besi yang menjadi penutup longkang itu boleh dijual dengan harga lebih daripada RM100 dan ia boleh dijual semula ke pasaran dengan harga RM200.
“Disebabkan itu ia menjadi tumpuan pencuri barangan lusuh kerana nilainya yang sangat tinggi di pasaran barangan terpakai dan kawasan utama yang berlakunya kecurian ini adalah di zon kawasan warisan,” katanya ketika Operasi Bersepadu Barangan Lusuh di Dewan Bandaran MPPP, Padang Kota Lama.
Kira-kira 50 anggota operasi termasuk penguat kuasa MPPP, polis dan juga imigresen negeri turut menyertai operasi yang bermula dari jam 2.30 petang hingga jam 5 petang.
Leong Seng berkata, dalam operasi yang sama tiada barang lusuh dari besi ditemui tetapi tiga saman dikeluarkan kepada pemilik premis barangan lusuh yang tidak mempunyai lesen.
“Ia termasuk satu premis di Lebuh Victoria dan dua lagi di Lebuh Armenian dan pemilik perlu membayar denda sebanyak RM250 setiap seorang.
“Sehingga kini hanya 13 premis barangan lusuh sahaja yang boleh menjualnya secara berlesen dari MPPP,” katanya
Namun beliau berkata, sekiranya didapati pemilik kedai membeli barangan lusuh daripada harta Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan, mereka bakal berhadapan dengan penarikan lesen dan juga barangan akan dirampas kerana atas kesalahan mencuri harta kerajaan.
“Berikutan kes curi besi penutup longkang yang semakin serius di sekitar Georgetown, MPPP mula memasang plastik diperkuat gentian (Fiber Reinforced Plastic-FRP) sebagai menggantikan besi yang dicuri.
“Pemasangan berkenaan mula dipasang sejak 2003, namun diperhebat sepanjang 2010,” katanya.
Menurutnya, walaupun sedikit mahal dengan harga besi sebelum ini yang dipasang, tetapi ia tidak lagi bernilai kepada pencuri mahupun penjual barangan lusuh berikutan plastik bukanlah barangan terpakai yang berguna.
“Sepanjang 2010 kami pasangkannya di Jalan Hotel Traders, Jalan Magazine, Jalan Padang Victoria, Solok Sungai Pinang 1 hingga 6 dan Lebuh Caravon.
“Setiap dua kaki FRP ini bernilai lebih RM200, tetapi ia hanya boleh dipasang di laluan pejalan kaki sahaja memandangkan ia tidak kuat untuk diletakkan atas jalan raya yang dilalui kenderaan berat,” katanya.
Please login or register to add comments |