|
Isu sungai - realitinya Sungai Pinang yang mengairi ibu negeri, Georgetown terus kekal sebagai sungai paling kotor di Malaysia walaupun sudah sekian banyak program pemulihan sungai itu diperkatakan ekoran sikap pihak berkuasa dan orang ramai yang tidak mempunyai kesedaran memulihara alam sekitar. Demikian juga longkang dan saliran di kawasan tengah bandar kebanyakannya berbau busuk yang menyengat hidung dan paling malang di situlah terletak gerai-gerai makanan yang menjual pelbagai jenis makanan yang enak-enak.
Laporan Kualiti Alam Sekitar 2004 menyebut, Sungai Pinang adalah antara sungai paling tercemar sepanjang tahun itu sehinggakan airnya langsung tidak sesuai untuk tujuan minuman. Kajian hidrologi yang dilakukan mengkategorikan tiga sumber pencemaran sungai ialah pencemaran fizikal seperti sampah-sarap, pencemaran biologi seperti najis binatang yang menyebabkan kemunculan bakteria seperti E- Coli, pencemaran kimia yang terdiri daripada bahan kimia terlarut daripada pencemar fizikal dan biologi dan pencemaran kimia. Walaupun kerja-kerja pembersihan Sungai Pinang sepanjang 3.6 kilometer sedang giat dijalankan sehingga mungkin mencecah RM500 juta kosnya dan ada pihak pernah memasang angan-angan, yakin ia bakal berubah menjadi bersih seperti Sungai Thames di London, namun sehingga kini, masih banyak lagi sampah sarap yang terapung di permukaan sungai, selain kualiti air yang begitu teruk tercemar. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengurusan Lalu Lintas negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan sendiri mengakui sikap penduduk dan kegiatan industri yang terletak di sepanjang Sungai Pinang, yang tidak mengendahkan langsung aspek-aspek kebersihan menjadi masalah kepada kerja-kerja membersihkan sungai itu. Katanya, walaupun kerja-kerja seperti mengorek lapisan endapan tercemar dan perangkap sampah dilakukan, masih terdapat sampah-sampah yang terus dibuang di sungai terbabit. ‘‘Inilah masalah kita sekarang, kerana itu kajian itu penting untuk kita mengenal pasti langkah yang sewajarnya dilakukan supaya matlamat memulihkan air sungai ini tercapai seperti yang disasarkan menjelang 2010,’’ ujarnya ketika menyusur Sungai Pinang bagi meninjau kerja-kerja itu tahun lepas sambil menjanjikan kajian mengenai kerja-kerja pembersihan sungai itu akan siap bulan depan. Teruk Sungai Pinang yang suatu ketika membentuk sistem pengangkutan air utama kini menjadi ‘sungai mati’ setelah kualiti air yang diakui teruk pada 1980-an, kini menjadi semakin teruk disebabkan segala bahan buangan dicampakkan ke situ sebelum mengalir ke laut. Bukan sahaja penduduk, malah pengusaha bengkel kereta juga menunjukkan sikap tidak beretika dengan membuang terus bahan buangan seperti sisa minyak hitam dan kepingan besi ke dalam sungai, menjadikannya ‘sungai mati’ dan dikhuatiri menerima nasib yang sama seperti Sungai Perangin yang suatu ketika dahulu menjadi laluan tongkang tetapi kini hanya parit di tepi Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar). Bagi Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Sungai dan Galian, Universiti Sains Malaysia di Transkrian, Profesor Madya Dr. Aminuddin Ab. Ghani, selagi minda masyarakat tidak berubah, selagi itu masalah pencemaran dan kekotoran Sungai Pinang serta sungai-sungai yang lain tidak akan dapat diatasi. ‘Sepatutnya apa yang perlu ialah kawal punca pencemaran dari kawasan perumahan dan industri lagi sebelum air dibiarkan masuk ke sungai, kajian kita untuk Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mendapati kesimpulan sumber pencemaran adalah sama, perumahan dan industri,” katanya. Menurutnya, walaupun banyak langkah pencegahan seperti alat perangkap sampah yang boleh memerangkap sampah sarap, namun langkah paling berkesan ialah dengan mengenal pasti punca sebenar. ‘‘Baik macam mana sistem kejuruteraan sekalipun tetapi selagi pendidikan sivik tidak ada, selagi itu masalah tidak akan selesai,” tegasnya sambil turut menjemput penulis melawat kampus USM Transkrian bagi menyaksikan sendiri sistem salirannya yang tidak menggunakan simen konkrit tetapi dibiarkan menghijau dengan tumbuh-tumbuhan. ‘‘Sudah menjadi pemikiran manusia, bila lihat longkang konkrit mereka memang mudah membuang sampah tetapi jika sistem berumput, pemikiran seperti itu mungkin boleh bertukar,” ujarnya. Sebenarnya, tidak mudah mengubah sikap manusia, apatah lagi keadaan di Pulau Pinang yang latar belakang pendudukan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan sosioekonomi. Malahan kegagalan pihak-pihak bertanggungjawab menyediakan sistem pembetungan dan rawatan yang bersesuaian sehingga hanya disedari tiga tahun lepas apabila kerajaan mengumumkan peruntukan RM468 juta untuk Pulau Pinang menyediakan kemudahan itu, sekali gus menimbulkan persoalan ke mana sisa kumbahan di Pulau Pinang dibuang selama ini. Sudah tentu sesuatu yang menjelikkan apabila orang luar baru mengetahui semuanya disalurkan ke sungai yang kemudiannya dibawa ke laut tanpa dirawat terlebih dahulu sehingga kajian dua universiti termasuk sebuah dari Jepun mendapati tahap pencemaran akibat najis dan kumbahan di perairan Pulau Pinang merupakan antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Keadaan itu menyebabkan hidupan laut terutama yang diternak berhampiran pantai Jelutong sebagai tidak selamat dimakan setelah dikenal pasti mengandungi bakteria memandangkan kawasan itu tercemar teruk sehingga dikategorikan sebagai ‘kawasan mati’ ekoran pergerakan air yang perlahan berbanding tempat lain menyebabkan sisa buangan tidak dapat dilepaskan ke laut dan berkumpul setempat. ‘‘Pulau Pinang sepatutnya sudah lama mempunyai loji kumbahan bagi mengatasi masalah pembuangan najis ke laut tetapi kegagalan berbuat demikian menyebabkan pencemaran perairan negeri ini berada dalam keadaan sangat kritikal. ‘‘Walaupun pembinaan loji berkenaan agak lewat, sekurang-kurangnya ia dapat mengelakkan perairan negeri ini daripada terus dicemari,” kata seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO). Oleh itu, tidak menghairankan apabila hasrat pihak tertentu yang mahu melihat Sungai Pinang menjadi Sungai Thames atau luahan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang mahu menjadikan Hawaii sebagai model negeri ini menjadi destinasi pelancongan dunia, sebagai suatu jenaka semata-mata. Sebaliknya keinginan menggunung itu perlu dipendamkan sahaja selagi isu alam sekitar, pengurusan sungai, masalah pelupusan sampah dan bahaya sengatan obor-obor di pantai-pantai peranginan tidak selesai. Selagi warna air Sungai Pinang yang bukan lagi berwarna teh susu, tetapi sebaliknya hitam pekat boleh ditukar, selagi itu impian untuk melihat anak-anak ikan berkeliaran di muara sungai itu hanya sekadar impian semata-mata.
Please login or register to add comments |